Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Selepas tular kekecewaan seorang guru pasukan bola sepak B-18 Sabah kendaliannya untuk beraksi di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), seorang lagi individu tampil meluahkan situasi sama, kali ini membabitkan seorang murid perempuan di pedalaman yang terpilih dalam pasukan bola tampar B-12.
Lin Yee daripada sebuah NGO, Forces Of Love menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan mengapa anak-anak di pedalaman sering dianaktirikan sehingga tidak mempunyai peluang langsung.
Jelasnya, bukan senang untuk melihat pelajar dari sekolah di pedalaman yang terpilih mewakili Sabah tetapi akhirnya pasukan yang disertai tidak dihantar.
Sekolah yang dimaksudkan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Babalitan, di daerah kecil Pagalungan.
“Di mana keprihatinan untuk anak-anak kami di pedalaman Sabah, sampai bila kami akan dianaktirikan? Dari tiada solar hingga tiada peluang langsung untuk apa-apa jua.
“Tidak puas hati sebab ada murid (SK) Babalitan seorang terpilih untuk wakil bola tampar Sabah ke MSSM B-12 tapi tidak dihantar.
“Kesian, bukan sehari dua berlatih dan bukan senang murid pedalaman ada peluang melihat negeri orang sebab serba kekurangan.
“Akhirnya sudah buat yang terbaik tapi tidak dihantar, saya pun rasa kecewa apa lagi murid itu sendiri,” katanya dalam hantaran itu.
Menurutnya lagi, murid perempuan berkenaan sangat baik dari segi akademik mahupun sukan dan terpilih mewakili Sabah untuk pasukan bola tampar perempuan B-12 merupakan peluang dalam seumur hidup agar dia boleh mendapat sijil, seterusnya boleh memohon ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
“Mereka berusaha lebih keras berbanding yang hidup di bandar hanya untuk mendapatkan peluang untuk mengubah hidup mereka,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang guru yang meluahkan kekecewaannya kerana skuad bola sepak B-18 kendaliannya tidak ‘diterbangkan’ ke Johor untuk beraksi di peringkat MSSM.
Perkara itu kemudian mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri yang memberi sumbangan RM50,000 bagi pasukan itu bersama skuad B-15 untuk beraksi di peringkat MSSM.
Artikel berkaitan: RM50,000 untuk Skuad B-18, B-15 Sabah ke MSSM di Johor
Bagaimanapun, satu lagi gambar tular di media sosial yang menyaksikan hantaran di Facebook oleh seorang individu mengatakan pasukan bola tampar wanita B-18 juga tidak dapat ke peringkat kebangsaan.
Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah pun mengeluarkan kenyataan berhubung isu tular penyertaan pasukan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSS) Sabah.
Dalam kenyataan itu, KPM telah menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk penganjuran sukan dan aktiviti kokurikulum di setiap peringkat.
Peruntukan juga diberi kepada setiap Jabatan Pendidikan Ngeri bagi memastikan aktiviti sukan dan kokurikulum dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
KPM juga sentiasa berusaha untuk memastikan penglibatan menyeluruh semua murid institusi pendidikan bawah KPM dalam sukan dan kegiatan kokurikulum yang dapat menggilap bakat dan membentuk kemahiran insaniah.