Tumpuan :
Nasional

Lagi produk kosmetik ada racun berjadual

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Notifikasi produk kosmetik, Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM kerana dikesan mengandungi racun berjadual iaitu Betamethasone 17-Valerate.

Serentak itu, produk berkenaan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini dan orang awam digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk yang mengandungi betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta.

Penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dr Muhammad Radzi turut menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik berkenaan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Loading...
Terkini