Oleh: Fazli Ahmad
CAMERON HIGHLANDS: Hujan lebat dan berterusan melanda kawasan pusat pelancongan tanah tinggi di sini, mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan menimbus Jalan Besar di Kampung Raja, di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands berkata, kejadian berlaku kira-kira jam dua pagi tetapi tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
Menurutnya, berikutan kejadian itu jalan terbabit ditutup kepada semua kenderaan.
“Runtuhan cerun itu menyebabkan laluan utama dari arah Simpang Pulai, Perak dan Lojing, Kelantan ke Cameron Highlands terhalang,”
“Orang ramai ingin ke pusat pelancongan terbabit boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Sungai Koyan di Lipis dan Jalan Tapah ke Cameron Highlands”.
“Kerja pembersihan runtuhan tanah di lokasi kejadian sedang dilakukan.” Katanya menerusi kenyataan media.
Menurutnya, pemantauan juga sedang dilakukan di kawasan runtuhan untuk memastikan status keselamatan di lokasi kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.