![](https://media.buletintv3.my/2023/12/vm93sH97-BULETIN-TV3-17.jpg)
KUALA SELANGOR: Lebih 200 penduduk di Jalan Pak Itam, Batu 19, Jeram, di sini mendakwa tidak selesa dengan bau busuk yang terpaksa dihidu setiap hari sejak setahun lalu.
Bau busuk itu dikatakan berpunca dari ladang ternakan, dipercayai diusahakan warga asing dari Bangladesh yang sebelum ini, hanya menanam pelbagai sayuran tetapi kini menternak lembu, kambing dan rusa.
Malahan jarak rumah penduduk dengan ladang yang dibina tahun lalu itu hanya bersebelahan iaitu sekitar kira-kira 50 meter.
Bukan itu sahaja, air dalam parit berhampiran kelihatan tidak dapat mengalir dipercayai tersumbat dan berwarna hitam menandakan ia dipenuhi sisa daripada premis terbabit.
Penduduk, Mohammad Yasim Abd Rahman, 42, berkata, beliau kesal apabila warga asing itu hanya mengejar keuntungan tanpa memikirkan nasib dan kesihatan penduduk sekitar kawasan itu.
“Sebelum ini dia hanya tanam sayur dan bela kambing, tetapi apabila dia mengusahakan projek lembu terus bau busuk mengganggu ketenteraman kami.
“Sudah tiga kali penduduk membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) namun jawapan diterima sangat mengecewakan.
“Penternak itu setiap bulan dapat duit, bagaimana pula saya dan keluarga? Apa yang kami dapat hanya bau dan masalah kesihatan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Penduduk, Mohd Arif Abd Latif, 63, berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila ada penduduk termasuk beliau sendiri jatuh sakit disebabkan najis haiwan ternakan itu.
“Bau busuk ini terus ‘menyeksa’ kami terutamanya kanak-kanak. Kasihan ada yang batuk dan selsema disebabkan kedegilan warga asing yang mementingkan diri.
“Mohon pihak berwajib ambil tindakan lebih tegas agar kami dapat menikmati kehidupan seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jeram, Mohammad Rafee Abd Ghani, berkata beliau kesal perkara itu tidak dapat diselesaikan walaupun aduan sudah berkali-kali diajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya bersimpati dengan penduduk yang berdepan dengan masalah ini seperti tiada kesudahan. Harap pihak dipertanggungjawabkan ambil tindakan sewajarnya demi kebaikan dan kesejahteraan semua,” katanya.