KUALA LUMPUR: Tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap syarikat dan institusi utama di negara ini kekal kukuh pada 2022, demikian menurut syarikat penyelidikan pasaran, Ipsos.
Berdasarkan kepada Indeks Kepercayaannya, tahap kepercayaan tahun lalu berada pada tahap yang sama seperti pada 2021, meningkat perlahan-lahan pasca pandemik.
“Seperti tahun sebelumnya, kepercayaan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengawal selia terutamanya kukuh dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PETRONAS menjadi dua entiti paling dipercayai di Malaysia,” kata Pengarah Bersekutu Hal Ehwal Awam Ipsos, Lars Erik Lie dalam satu laporan.
Syarikat lain dalam senarai lima entiti utama paling dipercayai terdiri daripada nama baharu – iaitu Nestle, Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd (PLUS) dan Petron.
“Dengan sempadan negara dibuka semula, aktiviti perjalanan akan meningkatkan penglibatan antara pengguna dan jenama seperti PLUS dan Petron, yang mana kedua-duanya memasuki senarai lima syarikat utama yang paling dipercayai,” kata Lie.
Menurutnya, syarikat dalam sektor media dan barangan pengguna laris mendapat kepercayaan tinggi pada 2022 manakala syarikat perkhidmatan telekomunikasi dan perkhidmatan kewangan berada di tahap yang rendah.
Beliau berkata, meskipun peningkatan kos barangan pengguna, kepercayaan terhadap syarikat barangan pengguna laris melonjak tinggi pada tahun lalu, menunjukkan bahawa orang ramai memahami kuasa makro adalah pemacu kepada kenaikan harga.
Meskipun sektor perkhidmatan kewangan mencatatkan sedikit keuntungan tahun lalu berbanding 2021, kepercayaan terhadap sektor tersebut kekal sederhana susulan kesan daripada kenaikan kadar faedah, katanya.
Kaji selidik Ipsos membabitkan 6,000 temu bual bersemuka yang dijalankan di seluruh negara pada separuh kedua 2022.