comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kutipan tol di SUKE Plaza Tol Alam Damai bermula tengah malam ini

KUALA LUMPUR: Bermula tengah malam ini kutipan bayaran tol bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Alam Damai akan dikenakan.

Bayaran akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan RFID.

Satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dan SUKE, memaklumkan bahawa pengguna sebelum ini sudah menikmati tol percuma selama dua minggu iaitu bermula 16 Jun lalu sempena pembukaan Fasa 2 Lebuhraya SUKE.

FOTO: NSTP

“Kadar di Plaza Tol Alam Damai adalah sama seperti dilaksanakan di dua lagi plaza tol Lebuhraya SUKE iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang iaitu RM2.30 untuk bas dan kereta (tidak termasuk teksi), kenderaan yang mempunyai dua hingga enam gandar (tidak termsuk bas – RM4.60), kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih (tidak termasuk bas – RM6.90 dan teksi (RM1.20).

“Pihak syarikat berterima kasih atas sokongan dan maklum balas diterima serta berharap akan meraih sokongan berterusan daripada pengguna untuk fasa operasi selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata fasa dua SUKE membabitkan baki jajaran utama sepanjang 7.8 kilometer bermula dari Sri Petaling, Lebuh raya Shah Alam (KESAS) sehingga Persimpangan Cheras-Kajang.

Katanya, lebuh raya berkenaan dijangka dapat membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dapat memendekkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Klang kepada 25 minit, berbanding 75 minit melalui laluan sedia ada.

Untuk rekod, Fasa 2 Lebuhraya SUKE dari Sri Petaling ke Cheras-Kajang dibuka sejak 16 Jun lalu, manakala Fasa 1 merangkumi jajaran dari Cheras-Kajang ke Ulu Klang dibuka sejak 16 September tahun lalu, sekali gus menjadikan semua 24.4 kilometer jajaran utama Lebuhraya SUKE sudah beroperasi sepenuhnya.

Sementara itu, Fasa 3 membabitkan Persimpangan Alam Damai pula masih dalam pembinaan dan dijangka dibuka dalam suku ketiga tahun ini.

Lebuhraya SUKE ialah satu daripada enam lebuh raya kendalian PROLINTAS, pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang.

Disebabkan bayaran tol dilaksanakan secara automatik, syarikat berkenaan menasihatkan orang ramai untuk memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya SUKE.

Loading...
Terkini