KUALA LUMPUR: Jumlah kutipan levi dicatatkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) meningkat kepada RM2.134 bilion pada 2023 berbanding RM475 juta pada 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, peningkatan yang begitu ketara itu disebabkan perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001 pada 1 Mac 2021 dengan kutipan levi telah diwajibkan kepada semua sektor industri.
Perkara itu antara penemuan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Bagaimanapun melalui prosiding yang telah diadakan, PAC dimaklumkan terdapat sejumlah levi yang tidak digunakan majikan dalam tempoh dua tahun akan dikategorikan sebagai levi tidak dimanfaatkan.
“Tempoh ini dilihat terlalu singkat yang mana ia tidak dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepenuhnya untuk menggunakan dana latihan tersebut,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Justeru itu, sebagai langkah penambahbaikan, Datuk Mas Ermieyati berkata, HRD Corp perlu mengkaji semula kaedah pemindahan levi ke tabung levi yang tidak dimanfaatkan untuk memastikan kepentingan PKS dipelihara.
Datuk Mas Ermieyati berkata, HRD Corp perlu mengambil langkah proaktif mencari alternatif bagi PKS untuk menggunakan wang caruman sebelum dikategorikan sebagai levi yang tidak dimanfaatkan.
Beliau berkata laporan berhubung pengurusan dana latihan HRD Corp itu adalah yang pertama bagi PAC melalui punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77 (1) (d) iaitu isu yang bukan di bawah Laporan Ketua Audit Negara sebaliknya “apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh jawatankuasa itu patut diperiksa atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada jawatankuasa itu”.
Susulan itu, beliau berkata PAC membuat keputusan untuk menyiasat HRD Corp dengan memulakan prosiding demi kepentingan awam memandangkan syarikat bertanggungjawab mengutip duit rakyat dan perlu dipastikan bahawa wang berkenaan benar-benar digunakan mengikut tatakelola ditetapkan kerajaan.
Seramai 22 saksi dipanggil memberi keterangan antaranya Menteri Sumber Manusia, Ketua Setiausaha Kesuma; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kesuma; Ketua Eksekutif HRD Corp dan barisan pengurusan tertinggi HRD Corp.
Selain itu, PAC turut mengemukakan 11 syor sebagai langkah penambahbaikan HRD Corp antaranya meminta Kesuma mengkaji semula keperluan untuk dijadikan HRD Corp sebagai badan berkanun bagi memastikan tadbir urus lebih baik dengan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.
Kesuma juga perlu mengkaji semula dan meminda Akta PSMB 2001 supaya wakil Bank Negara Malaysia (BNM) tidak perlu dilantik sebagai Ahli Panel Pelaburan memandangkan BNM berpendapat bahawa perkara itu bercanggah dengan peranan BNM sebagai pengawal selia.
HRD Corp turut disyorkan memberi tumpuan lebih proaktif kepada penyaluran dana latihan untuk memastikan pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program-program latihan yang lebih menyeluruh serta tertumpu dan tidak hanya bersifat generik.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa