comscore
Tumpuan :
Nasional

KUSKOP sediakan pembiayaan RM30 juta bagi koperasi layak, rancakkan sektor pelancongan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki & Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) sehingga RM30 juta bagi koperasi yang berkelayakan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata permohonan itu boleh dibuat oleh koperasi berkelayakan bagi mengembang atau memperluas aktiviti perniagaan di sektor pelancongan.

Pembiayaan itu antara inisiaitif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam usaha meningkatkan penglibatan dan sumbangan koperasi dalam sektor pelancongan.

“Koperasi yang berkelayakan boleh memohon Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) sehingga RM30 juta bagi mengembang atau memperluas aktiviti perniagaan di sektor pelancongan.

“Bagi tahun 2023 dan sehingga 31 Mei 2024, sebanyak 5 koperasi menjalankan aktiviti pelancongan telah diluluskan pembiayaan berjumlah RM4.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Rakyat Hari ini.

Selain itu katanya, KUSKOP melaksanakan Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) 2024-2025 untuk merangsang aktiviti koperasi yang terlibat dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf.

KUSKOP turut menyediakan Geran Bantuan Pembangunan kepada koperasi yang berkelayakan bagi mengukuh dan mengembang aktiviti perniagaan koperasi termasuk aktiviti pelancongan dengan bantuan sehingga RM300,000.

Jelas beliau, kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyokong penuh keputusan Kerajaan dalam menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memastikan keterlibatan koperasi dalam sektor pelancongan.

“Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 233 koperasi yang terlibat secara khusus dalam sektor pelancongan yang meliputi 39 aktiviti berasaskan pelancongan seperti hotel dan inap desa, penjagaan diri dan kesihatan, pusat kecantikan, spa dan salon serta termasuklah kraf seperti batik, kraftangan dan sebagainya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini