![](https://media.buletintv3.my/2025/02/Menteri-Pembangunan-Usahawan-dan-Koperasi-Datuk-Ewon-Benedick.-FOTO-NSTP.jpg)
KOTA KINABALU: Lebih RM1 bilion pembiayaan disasarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk disalurkan kepada usahawan dan koperasi di Sabah, tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata sasaran itu bagi mencontohi pencapaian kementeriannya di Sarawak yang merekodkan lebih RM1 bilion pembiayaan kepada usahawan dan koperasi di negeri itu tahun lalu.
Beliau berkata, bagi negeri Sabah, jumlah pembiayaan yang disalurkan KUSKOP melalui agensi di bawahnya pada tahun lalu hanya mencapai RM813.4 juta kepada seramai 53,395 usahawan dan koperasi.
“Saya secara peribadi ingin melihat lebih ramai usahawan Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah tampil datang berjumpa dengan kami dan agensi di bawah kementerian.
“Kalau di Sarawak pembiayaan yang disalurkan lebih RM1 bilion pada tahun lalu, di Sabah juga saya mahu melihat sasaran itu tercapai pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media KUSKOP 2025, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sasaran kementeriannya pada tahun ini selepas merekodkan RM813.4 juta dalam bentuk pembiayaan kepada usahawan dan koperasi di Sabah sepanjang tahun lalu.
Ewon berkata, pembiayaan itu disalurkan menerusi agensi di bawah KUSKOP seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Daripada jumlah itu, katanya, antara lain sebanyak RM10.28 juta digunakan bagi Program Pembangunan 54 Premis Tamu Desa, diikuti RM8.39 juta kepada 113 syarikat menerusi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS dan RM3.56 juta untuk Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang memberi manfaat kepada 893 peniaga.
Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata, beliau juga memberi tumpuan kepada kawasannya dengan sebanyak RM20.95 juta pembiayaan daripada KUSKOP disalurkan kepada 478 usahawan di Penampang pada tahun lalu.
Sementara itu, beliau berkata, tahun ini KUSKOP memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP bagi membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.
Bagi tujuan itu, katanya, usaha sedang digerakkan untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan e-Kasih terutama di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.