comscore
Tumpuan :
Nasional

Kursi Pengajian Melayu ditubuhkan di universiti Rusia

Menurut Zambry, penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Rusia itu bertujuan untuk memartabat bahasa, sejarah dan budaya Melayu di peringkat antarabangsa. – Facebook / Zambry Abd. Kadir

PETALING JAYA: Kursi Pengajian Melayu akan ditubuhkan di sebuah universiti di Rusia sebagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memaklumkan, kursus itu akan menumpukan kepada pembelajaran kesusasteraan, dan sejarah Melayu.

Katanya, inisiatif itu turut disokong oleh Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia, Valery Falkov.

“KPT mengumumkan inisiatif mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di sebuah universiti di Rusia, hasil perbincangan dalam Mesyuarat ke-3 Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia (JCESTC) di St. Petersburg.

“Kursi Pengajian Melayu ini akan menumpukan kepada pembelajaran kesusasteraan, sejarah, serta latar belakang budaya Melayu dan Nusantara. Inisiatif ini bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama, Kursi yang akan ditubuhkan ini akan membantu memartabatkan lagi Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama yang akan ditambah baik antara kerajaan Rusia dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, KPT turut bercadang untuk menghantar pensyarah dari Malaysia ke Rusia bagi memperluas pengaruh Bahasa Melayu.

“KPT juga merancang untuk menghantar pensyarah dari Malaysia ke Rusia dan sebaliknya, bertujuan memperkukuhkan pemahaman budaya antara kedua-dua negara,” tambahnya.

Tambah Zambry, sebelum ini kursi pengajian serupa telah ditubuhkan di universiti-universiti di seluruh dunia seperti di China, Amerika Syarikat, Belanda, New Zealand, dan Korea Selatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini