Tumpuan :
Nasional

Kurma mentega: Sunnah adalah bersederhana dalam pemakanan – Dr Zulkifli 

KUALA LUMPUR: Tular di media sosial dan menjadi perbualan umum ketika ini mengenai kurma dimakan bersama mentega asli dan semakin ramai yang mencubanya di bulan Ramadan ini.

Public Health Malaysia menerusi akaun Facebooknya memberitahu kurma mengandungi pelbagai khasiat dan mineral penting serta serat.

Bagaimanapun apabila ia ditambah dengan bahan seperti mentega dan diambil dalam kuantiti yang banyak, ia lebih membawa mudarat berbanding kebaikan.

“Mentega adalah lemak haiwan yang mempunyai lemak tepu yang tinggi, ia juga tinggi kalori. Sebiji kurma butter bersamaan sesenduk nasi. Nak makan untuk rasa-rasa tiada masalah, untuk pengambilan kerap dan banyak tidak baik untuk kesihatan, ” penjelasan Public Health Malaysia.

Malah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di aplikasi X juga menulis di kapsyen hantarannya.

“Kurma dan mentega?‎ Bagi yang belum cuba, boleh buat untuk berbuka puasa.

“‎Dari Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka berkata: Rasulullah SAW masuk ke rumah kami, lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah),” tulisnya.

Melalui perkongsian resipi itu, biji kurma yang juga makanan sunnah dan kegemaran Nabi Muhammad SAW dibuang dan mentega diletakkan di tengahnya sekali gus mengundang reaksi ramai.

Sementara itu, Zulkifli dalam hantaran berasingan berkata, ia sesuai untuk tenaga segera selepas seharian berpuasa serta persediaan berpuasa namun beliau turut mengingatkan orang ramai supaya bersederhana dalam pemakanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini