comscore
Tumpuan :
Nasional

Kurangkan kesesakan, tak sakit teruk tak perlu datang Jabatan Kecemasan – Dr Alzamani

Keadaan lengang di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) boleh dianggap sesuatu yang luar biasa dan jarang-jarang berlaku. – Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah mengenai ‘tahap keterukan’ penyakit yang wajar mendapatkan rawatan segera di Jabatan Kecemasan antara penyumbang kepada masalah kesesakan di hospital kerajaan.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose berkata masih pihak ada yang tidak memahami fungsi sebenar Jabatan Kecemasan sehingga ada yang hanya mengalami sakit ringan, tetapi tampil untuk mendapatkan rawatan.

“Jabatan Kecemasan, fungsinya adalah untuk melayani mereka yang dalam keadaan kecemasan. Namun, ada juga yang bukan dalam kategori kecemasan, masih datang untuk dapatkan rawatan. Jadi ini antara satu daripada punca pertambahan kes (di Jabatan Kecemasan).”

“(Dalam kes di hospital kerajaan), rata-rata mereka yang dalam kategori hijau, ada yang tak perlu datang, contohnya hanya alami selesema biasa. Akhirnya (pesakit ini) marah dan kecewa kerana terpaksa menunggu lama.”

“Perlu diingat, petugas kesihatan (di Jabatan Kecemasan) mengutamakan kes kecemasan bagi pesakit yang berdepan isu hidup dan mati,” katanya.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose.

Mengulas lanjut, Dr Alzamani berkata pihaknya berharap masyarakat lebih cakna dan meneliti keadaan kesihatan diri sebelum tampil ke Jabatan Kecemasan.

“Satu, jika (pesakit yang datang) bukan dalam kategori kecemasan, ia akan mengganggu fokus pasukan (petugas kesihatan) yang cuba memberi perawatan kepada mereka yang benar-benar dalam keadaan kecemasan.”

“Bagi yang hanya sakit ringan, umpamanya untuk cucian luka, sambung ubat dan memerlukan sijil cuti sakit (MC), pergilah ke klinik kesihatan. Jangan pergi ke tempat yang salah, sedangkan ada pilihan lain termasuk memendekkan masa menunggu.”

“Malah, ada klinik kesihatan yang sudah dilanjutkan waktu operasi, sehingga 9 malam pun ada. Ini inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bantu tingkatkan kapasiti perawatan bagi kes bukan kecemasan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya turut memanfaatkan inisiatif Skim Perubatan MADANI yang dilancarkan sejak tahun lalu bagi membolehkan individu atau keluarga B40 mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Menjawab persoalan mengenai punca lain kesesakan luar biasa di Jabatan Kecemasan, beliau berkata dalam situasi tertentu, pihak hospital turut berdepan masalah apabila ada penjaga yang lewat membawa pesakit pulang.

“Kita juga harap masyarakat bantu dari segi ‘output’. Misalnya, wad kebiasaannya penuh kerana pesakit yang sudah boleh discaj dari wad sejak awal pagi, tetapi tidak ada (ahli keluarga) yang hadir untuk uruskan. Ada yang hanya datang selepas waktu kerja atau malam.”

“Jadi, ini menyebabkan (pesakit lain yang sepatutnya dihantar ke wad) masih tersadai di Jabatan Kecemasan dan kuranglah katil untuk (pesakit baharu). Kebanyakannya berlaku (situasi) begitu.”

“Saya harap ia dapat diubah. Bawalah pulang insan tersayang ke rumah pada waktunya untuk mengurangkan mereka yang masih tersadai di hospital,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini