comscore
Tumpuan :
Nasional

Kurang sumber makanan, perubahan cuaca jadi punca serangan ulat bulu hitam

Zailila Had menunjukkan ulat yang ditemui di kedai makannya menyebabkan dia terpaksa menutup premis selama seminggu. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Kekurangan sumber makanan selain perubahan cuaca disyaki antara faktor yang menyebabkan serangan ulat bulu hitam berlaku di Kampung Tebengau Tepi Laut di Kuala Kedah, sejak Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, kekurangan sumber makanan ulat bulu hitam adalah seperti pokok jati dan pokok api-api yang terdapat di kawasan pesisir pantai di kampung berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ulat bulu hitam itu terpaksa mencari sumber makanan dari tanaman lain di kampung berkenaan.

Katanya, merujuk pada data dari serangan yang lalu, ulat ini dikenali sebagai “Hyblaea puera (Carmer, 1777) dari Order Lepidoptera dan Keluarga Hyblaeidae atau nama biasanya Rama-Rama Jati (Teak Defoliator).

“Selain itu, terdapat laporan menunjukkan bahawa serangan ulat bulu hitam itu merebak di kawasan bakau sewaktu peralihan antara musim kering dan musim hujan.

“Keadaan ini juga turut mempengaruhi populasi musuh semula jadi yang dapat mengawal serangga perosak ini secara semulajadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzowahir berkata, semalam, Jabatan Pertanian Negeri Kedah melalui Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) menjalankan penyiasatan untuk mengenal pasti dan mendapatkan maklumat daripada komuniti di kampung berkenaan.

Beliau berkata, hasil tinjauan mendapati, ulat itu muncul dengan memakan daun pokok api-api yang tumbuh sekitar persisir pantai sehingga menyebabkan banyak daun pokok mati.

“Serangan ulat bulu hitam itu sama seperti yang pernah berlaku pada 27 November 2016 yang mana kejadian berlaku pada bulan yang sama dan juga keadaan iklim pada waktu itu juga sama seperti yang berlaku sekarang.

“Kaedah kawalan yang disyorkan adalah menggunakan racun serangga seperti bahan aktif contohnya cypermethrin, deltamethrin, emamectin benzoate, abamectin dan perlu dilakukan dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata, ini kerana keadaan persekitaran dan peralihan musim boleh menyebabkan kejadian sama berulang malah berdasarkan pemerhatian pihak jabatan pertanian, kejadian ini boleh berlaku lagi.

Katanya, berdasarkan kajian, kehadiran ulat bulu hitam yang boleh menjadi rama-rama jati ini menjadi simbiosis bagi keseimbangan biodiversiti antara spesies pokok api-api dan tumbuhan paya bakau atau tumbuhan hutan dari spesis lain.

“Berdasarkan penemuan ini, pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Angkatan Pertahanan Awam (APAM) akan mengambil tindakan kawalan bagi mengatasi serangan itu dalam masa terdekat.

“Ini adalah kejadian kedua serangan spesis ulat bulu hitam ini sehingga mengakibatkan ada di kalangan penduduk yang terkena cecair daripada ulat terbabit akan menjadi gatal dan alahan pada kulit,” katanya.

Loading...
Terkini