Tumpuan :
Nasional

Kupang perairan Port Dickson dicemari Biotoksin – Jabatan Perikanan

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah (kanan) menunjukkan gambar kawasan laut di perairan Port Dickson yang sudah dicemari biotoksin dan tidak selamat untuk dimakan. FOTO: NSTP

PORT DICKSON: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan hasil analisis yang dilakukan pada kupang dan air di perairan Port Dickson khususnya di Kampung Telok dan Sungai Sekawang di Pasir Panjang di sini dicemari biotoksin dan tidak selamat untuk dimakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, ia berdasarkan analisis yang dijalankan oleh makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur.

“Analisis yang dijalankan mendapati terdapat alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia pada kupang yang diambil sampel di perairan Port Dickson.

“Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan,” katanya kepada media ketika sidang media di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson petang tadi.

Ujarnya, buat masa ini orang ramai disarankan supaya tidak mengambil kerangan seperti lala, kerang dan lokan di Port Dickson selain pihaknya tidak membenarkan kerangan itu dijual dan dipasarkan dalam pasaran awam.

“Kita membenarkan kawasan lain yang selamat untuk dijual, namun begitu pengusaha perlulah mendapat pengesahan daripada jabatan terlebih dahulu.

“Bagaimana pun makanan laut lain seperti ikan dan sotong di perairan berkenaan adalah selamat dimakan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, mungkin kerana cuaca panas antara faktor yang menyebabkan alga toksin ini merebak dan membiak dengan cepat.

Justeru katanya, dalam tempoh 20 hari ini orang ramai dinasihatkan untuk tidak memakan kerangan dan akan membuat hebahan umum selepas ia selamat untuk di makan berdasarkan analisis yang dijalankan dalam tempoh tersebut.

Katanya, mereka sudah mengeluarkan arahan supaya penternak tidak mengeluarkan hasil kerang-kerangan masing-masing.

“Di samping itu, pihak berkuasa yang bertanggungjawab akan terus membuat pemantauan di kawasan perairan di daerah ini termasuklah di pasaran awam.

“Setakat ini terdapat 40 penternak kupang yang ada di Pasir Panjang namun hanya 19 berdaftar dengan jabatan ini dan kami percaya mereka akur dengan arahan ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini kes keracunan kerang, Wan Muhammad Aznan berkata, terdapat sembilan kes direkodkan dan terkini hanya seorang pesakit iaitu lelaki berusia 70an masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala, empat lagi dijangka bakal mendaftar keluar hari ini, bakinya empat sudah keluar semalam (Rabu).

Lapan individu terpaksa dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya dirawat di ICU selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini