PORT DICKSON: Keputusan makmal bagi sampel kupang dan air laut yang diambil susulan kejadian kes keracunan makanan berkaitan pengambilan haiwan laut itu di Port Dickson dijangka diketahui esok.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, pihaknya juga sudah mengeluarkan arahan kepada penternak kupang untuk tidak mengutip dan menjualnya.
“Arahan ini sehingga keputusan makmal keluar yang biasanya ambil masa 36 jam untuk diperoleh, paling cepat pun petang ini atau awal pagi esok.
“Berdasarkan pemantauan dilakukan di beberapa lokasi jualan kupang, didapati tiada lagi yang menjualnya dan masing-masing nampaknya mengetahui arahan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.
Kasim berkata, kes seumpama itu tidak pernah direkodkan berlaku sebelum ini di perairan Port Dickson dan pihaknya juga bekerjasama dengan Persatuan Nelayan untuk melakukan pemantauan bagi mencari punca.
Beliau berkata, terdapat 19 penternak kupang berdaftar di perairan Port Dickson dan hasilnya sekitar 4 tan setahun dan 300 kilogram sebulan.
“Ia dijual pada harga pasaran RM10 sekilogram dan boleh diperoleh di perairan Pasir Panjang dan Linggi.
“Kita harap orang ramai khususnya penggemar kupang bersabar menunggu hasil kajian yang sedang dibuat di makmal di Putrajaya demi kebaikan semua pihak,” katanya.
Sementara itu, penternak kupang di perairan Pasir Panjang di sini akur yang mereka tidak dibenarkan menjual dan mengeluarkan kupang serta kerang berikutan kejadian kes keracunan yang berlaku.
Meskipun terpaksa menanggung rugi berikutan terpaksa membatalkan tempahan pelanggan sempena Aidilftri tidak lama lagi, namun soal nyawa diberi keutamaan.
Seorang penternak kupang, Mohd Hairel Mohd Rashid, 32, terpaksa membatalkan lebih 500 kilogram (kg) tempahan pelanggannya disebabkan kes yang berlaku.
“Kalau nak ikutkan rugi memang rugi, tapi ini soal membabitkan nyawa dan nyawa tidak boleh dibeli dan jika berlaku apa-apa, kita yang perlu bertanggungjawab.
“Sebelum ini, jika setiap kali hari raya kami ada buat rendang kupang atau kerang, tapi nampaknya kali ini tiadalah lagi rendang tradisional keluarga kami,” katanya
Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, kupang dan kerang sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana ia dijadikan hidangan rendang.
Penternak kupang, Othman Sulaiman, 40, pula berkata tempoh untuk keadaan ini pulih kembali akan mengambil masa terutama sekali untuk mendapatkan keyakinan pembeli.
“Biasanya dua minggu sebelum Hari Raya, ramai orang sudah tempah kupang ini dan biasanya setiap orang akan tempah sekurang-kurangnya 10 kg.
“Bila jadi macam ini, kami pun tak dapat turun ke laut. Harapnya beberapa hari ini, kami akan dapat turun semula ke laut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.