Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kuota haji Malaysia adalah 31,600 orang bagi tahun ini

Malaysia menerima sebanyak 31,600 kuota jemaah haji bagi tahun 1444H/2023M. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Kuota haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk tahun 1444H/2023M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar memaklumkan kelulusan bagi kuota itu diberikan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika beliau menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi, semalam.

Tambahnya, mesyuarat khas itu berlangsung dengan penuh mahabbah (taqwa, keadilan, kejujuran, amanah dan bertanggungjawab) khususnya bagi membincangkan aspek persiapan musim haji tahun ini.

Katanya, pada mesyuarat itu Dr Tawfiq Fawzan juga memuji Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang baik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang perlu dijadikan contoh kepada pihak lain.

“Saya menegaskan, TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan diadakan Kerajaan Arab Saudi,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Pada tahun lalu, Kerajaan Arab Saudi meluluskan 14,306 kuota haji Malaysia iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan terpakai kepada semua negara.

Mohd Na’im berkata, bagi pihak Kerajaan Malaysia beliau menzahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota diberikan itu.

Katanya, beliau yakin penilaian sudah dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi dari semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin ketika menunaikan rukun Islam yang kelima.

“Saya memohon kepada semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar,” katanya.

Loading...
Terkini