Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima merangkul tiga hadiah sempena Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMedia 2024), Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), di ibu negara, tadi.
Masing-masing bagi kategori Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik dan Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik.
Laporan berita TV9 kolaborasi bersama Harian Metro bertajuk ‘Ledakan Port Healing di Kediaman Ragut Ketenangan Tetangga’ yang dihasilkan wartawan Nur Izzatie Mohd Rizan dan jurukamera Mohd Jufri Mohd Judin merangkul tempat pertama bagi kategori Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik.
Mereka membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, piala serta sijil penghargaan.
Sementara itu, dokumentari Majalah 3 bertajuk ‘Tragedi Elmina’ yang dihasilkan Christine Lee Mei Chin, S. Rishigeysannambiar, Rudiahdi Murdin @ Nurdin, Azizul Sufyan, Mohd Razi Ramli dan Mohd Zahril Abdullah memenangi tempat ketiga dalam kategori sama.
Wartawan Harian Metro, Mohd Alhafiz Ithnin pula merangkul tempat pertama bagi kategori Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik menerusi ‘Kami harmoni di Program Perumahan Rakyat (PPR)’, sekaligus membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan sijil penghargaan.
AkeMedia 2024 telah menerima 231 penyertaan daripada 48 media tempatan, agensi media kerajaan dan media baharu.
KPKT sentiasa menghargai peranan dan sumbangan pengamal media yang memberikan sokongan kepada program-program anjuran KPKT dan Kerajaan MADANI.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.