comscore
Tumpuan :
Nasional

Kumpulan keempat MALBATT 850-12 berlepas ke Lubnan

FOTO: MINDEF

SHAH ALAM: Kumpulan keempat kontinjen Malaysia Battalion (MALBATT) 850-12 berlepas bagi misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dari Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) memaklumkan, majlis penghantaran itu berlangsung di hangar 16 Skuadron, di sini dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

“Kumpulan keempat kontinjen MALBATT 850-12 diketuai oleh Timbalan Komander MALBATT 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus Shah Budin dengan terdiri daripada tujuh pegawai dan 202 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

“Keseluruhannya MALBATT 850-12 berkekuatan 854 anggota, terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota LLP, termasuk tiga pegawai serta 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, MINDEF berkata, pergerakan MALBATT 850-12 dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan penghantaran kumpulan pertama pada 6 November lalu.

Menurutnya, penghantaran kontinjen itu adalah bagi menggantikan tugas misi Unifil pasukan MALBATT 850-11 yang tamat baru-baru ini.

FOTO: MINDEF

“Pertukaran ini juga selaras dengan ketetapan Force Commander Pasukan UNIFIL turut membabitkan semua negara yang menyertai misi UNIFIL dengan mengambil kira semua faktor dan situasi semasa.

“Bagi memastikan kelancaran misi, semua anggota kontinjen MALBATT 850-12 sudah menjalani latihan intensif, selain persiapan mental dan fizikal sebelum diatur gerakkan.

“Penglibatan MALBATT di bawah UNIFIL bukan sahaja melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman tetapi juga memperlihatkan peranan proaktif negara ini dalam mempromosikan kestabilan dan keselamatan antarabangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini