Tumpuan :
Nasional

Kulai bandar kelima paling bahagia di Malaysia

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Mohd Fahmi Salam bersama kakitangannya selepas menerima Anugerah Kulai bandar ke-5 Paling Bahagia di Malaysia di Putrajaya, semalam.

KULAI: Daerah Kulai dinobatkan sebagai bandar kelima paling bahagia di Malaysia sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia yang diraikan pada 20 Mac setiap tahun di seluruh dunia.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian pada tahun 2020 di mana Bandar Kulai turut menerima pengiktirafan sama.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Mohd Fahmi Salam berkata, anugerah itu dianjurkan oleh Plan Malaysia dan telah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya, semalam.

“”Pengiktirafan itu amat bermakna buat seluruh warga Kulai dan secara kebetulan pada tahun ini Majlis Perbandaran menyambut Ulangtahun Perbandaran Ke-20.

“Kejayaan ini hasil kerjasama, dorongan dan usaha semua pihak di dalam membantu perancangan pembangunan Bandar Kulai yang terletak di kawasan Greater Johor bahru dan Iskandar Malaysia termasuk dari kepimpinan kerajaan negeri dan masyarakat Kulai” katanya dalam satu kenyataan.

Penetapan bandar paling bahagia dibuat melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 yang dilaksanakan melalui Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) telah dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sejak tahun 2019.

Penilaian ini juga adalah berlandaskan kriteria dan garis panduan ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu dengan mendapatkan hasil persepsi dan perasaan penduduk di kawasan bandar atau luar bandar.

Indeks kebahagian ini merangkumi 14 komponen penilaian termasuk membabitkan kepuasan terhadap kualiti alam sekitar, perkhidmatan pemimpin tempatan, perkhidmatan swasta, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), kemudahan infrastruktur, kemudahan awam, keselesaan dan keselamatan di tempat kediaman, keseronokan penglibatan aktiviti komuniti, hubungan dengan jiran, pengurusan kewangan diri, keseronokan bekerja, kebahagiaan keluarga dan saudara-mara, kesihatan diri dan tahap tekanan.

Pada tahun ini, Kulai memperolehi skor indeks 4.91 mata berbanding pada tahun 2020.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini