KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani jenayah gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, berkata ia penting mengambil kira peningkatan kes berkaitan pedofilia yang membimbangkan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan MADANI membawa beberapa pindaan kepada akta berkaitan komunikasi.
“Pembentangan Rang Undang-Undang Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) akan dapat membantu pihak berkuasa mengekang jenayah jelik ini,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Tambah Azalina, semua kapasiti agensi yang berkaitan juga mesti dikemaskini dan dinaiktaraf.
Dalam pada itu, Azalina menzahirkan ucapan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kejayaan menumpaskan kegiatan seksual terhadap kanak-kanak secara dalam talian menerusi Op Pedo Bersepadu.
“Syabas dan terima kasih kepada PDRM dan pihak yang terbabit dalam Ops Pedo kerana berjaya menumpaskan kegiatan seksual serta antun seksual terhadap kanak-kanak dalam talian,” katanya.
Semalam, dalam serbuan menerusi Op Pedo Bersepadu oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), seramai 13 lelaki diberkas kerana disyaki terbabit dalam penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Mereka diberkas dalam serbuan berasingan di enam negeri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 74 tahun itu ditahan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.