PASIR MAS: Bermula hanya untuk dihidang kepada ahli keluarga, kini kuih bakul air tangan Ong Lee Sew, 51 tahun menjadi tempahan tetap ramai pembeli sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Pembuat kuih bakul dari Kampung Sakar, Tendong itu berkata, disebabkan mendapat permintaan yang tinggi, dia mula membuat kuih bakul secara komersial sejak lapan tahun lalu.
Katanya, untuk tahun ini sahaja dia menggunakan 210 kilogram (kg) beras pulut yang dicampur dengan gula untuk menghasilkan lebih 600 biji kuih bakul yang diusahakan bersama dua anak, Chia May Yin, 30, dan Chia May Fern, 25, serta dua anak saudara.
“Kuih bakul saya mendapat permintaan bukan sahaja dari masyarakat Tionghua dari Kelantan, malah dari Terengganu.
“Saya mula membuat kuih bakul sejak tiga minggu lalu dan hampir setiap hari membuatnya bagi memenuhi permintaan orang ramai,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, resipi kuih bakul itu diperoleh daripada ibu saudaranya yang berpengalaman membuat kuih itu sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, kuih bakul yang dihasilkan akan diletakkan dalam acuan dan dikukus antara 20 hingga 25 jam untuk memastikan ia tahan lama.
“Disebabkan itu, ramai yang berminat untuk membeli kerana kuih bakul boleh disimpan dalam tempoh beberapa bulan. Selepas proses mengukus, juadah ini akan dikeluarkan dari acuan dan diletakkan dalam daun pisang atau plastik khas.
“Kuih bakul ini mengambil masa lebih kurang empat hari untuk betul-betul keras. Berat kuih bakul dianggarkan 200 gram sebiji dan dijual antara RM18 hingga RM20 sebiji.
“Saya gembira kerana dapat memenuhi permintaan orang ramai dan akan meneruskan usaha ini pada masa akan datang dengan dibantu dua anak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.