comscore
Tumpuan :
Nasional

Kudung kaki bukan penghalang jalani kehidupan seperti kanak-kanak normal 

Yayasan Raja Shamri (YRS) menyampaikan sumbangan kaki palsu kepada kanak-kanak, Nur Raiesha Razeea,5 yang kudung kaki kiri sejak lahir di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja, Pasir Puteh. -NSTP

PASIR PUTEH: Keistimewaan anak bongsu yang dilahirkan kudung kaki kiri tidak menghalang seorang bapa menghantar anaknya ke sekolah malah membabitkan anaknya itu dengan pelbagai aktiviti seperti kanak-kanak normal lain.

Mohd Fadli Che Ngah, 39, berkata, malah seawal usia setahun lebih, dia dan isteri, Nor Hidayah Mohamad, 37, memakaikan kaki palsu buat anak mereka, Nur Raiesha Razeea, 5.

Katanya, Nur Raiesha atau mesra disapa ‘Yaya’ diajar sejak kecil untuk belajar berjalan sendiri dan membuat apa sahaja aktiviti yang dia mahukan seperti kanak-kanak lain.

“Kami tidak pernah anggap Yaya kekurangan, seawal pandai bertatih, kami belikan Yaya kaki palsu supaya dia senang bergerak,” katanya ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nur Raiesha Razeea menerima bantuan kaki palsu daripada Yayasan Raja Shamri (YRS) yang disampaikan Pengerusi Eksekutifnya, Raja Shamri Raja Husin.

Mohd Fadli berkata, malah sejak Mac lalu, dia turut menghantar anaknya itu bersekolah di Tadika SK Raja.

Sementara itu, Nur Raiesha Razeea berkata, dia seronok dapat berkenalan dengan rakan lain.

“Tiada yang mengejek keistimewaan yang saya miliki selain mendapat layanan baik guru,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Shamri berkata, bantuan kaki palsu itu seiring dengan keperluan kanak-kanak berkenaan yang semakin meningkat usianya.

Loading...
Terkini