comscore
Tumpuan :
Nasional

KUD@Putrajaya sasar RM10 juta jualan, sejuta pengunjung


Oleh : Amirulhakim Lokman

PETALING JAYA : Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) menyasarkan sebanyak RM10 juta transaksi dengan kehadiran satu juta pengunjung sempena Karnival Usahawan Desa KUD @Putrajaya yang berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya pada 22 hingga 26 November ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata lebih 1,000 usahawan luar bandar yang terdiri daripada peniaga masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari agensi-agensi di bawah KKDW juga turut serta karnival berkenaan.

Katanya, majoriti usahawan yang terbabit adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kategori kecantikan dan kesihatan, kategori kraftangan dan kategori produk pertanian.

“Kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada usahawan luar bandar mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan-usahawan luar bandar.

“Mereka berpotensi dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan, katanya pada Majlis Pra Pelancaran Karnival Usahawan Desa KUD @Putrajaya yang disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang di Sri Pentas, Petaling Jaya.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ramlan berkata, antara aktiviti yang akan dijalankan adalah membabitkan pameran oleh bahagian-bahagian di bawah KKDW dan agensi serta anak syarikat yang memfokus kepada keusahawanan, pendidikan serta penawaran kemudahan-kemudahan yang disediakan.

“Antaranya adalah Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), Program Onboarding Usahawan, Program Pendigitalan Usahawan (PPU), perkampungan mini Orang Asli, persembahan dron dan ‘bussiness matching’ MARA.

“Beberapa aktiviti tarikan pengunjung turut dirancang seperti Forum Perdana Ehwal Islam Dengan Panelis Jemputan Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Dr. Mohd Erfino Johari, Ustaz Datuk Dr. Zahazan Mohamed; persembahan nyanyian nasyid Rabbani, Unic, InTeam dan Daqmi; perkampungan mini Orang Asli (JAKOA) dan Pertandingan eSport,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 10 agensi di bawah KKDW akan terbabit dalam karnival berkenaan iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Katanya, pelaksanaan program ini juga didokong menerusi pembabitan pengisian program dari Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD), Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran (K), Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK) dan GiatMARA.

“Ia turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Perbadanan Putrajaya khususnya dalam kelulusan penggunaan lokasi Anjung Floria dan khidmat nasihat pelaksanaan program berskala besar di Putrajaya,” katanya.

Loading...
Terkini