Tumpuan :
Nasional

Kuda Kepang ada unsur bertentangan Islam – Mufti Johor

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad menyampaikan tarekat kepada penerima.- FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Jabatan Mufti Johor kini dalam proses memfatwakan permainan kuda kepang selepas mendapati wujud unsur tidak menepati ajaran dan akidah Islam.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata ia jelas terbukti melalui kajian dan juga dapatan yang mana ia tidak boleh disangkal terhadap unsur yang wujud dalam permainan tradisi masyarakat negeri ini.

Menurutnya, melalui kajian dijalankan sejak dua tahun lalu, pihaknya mendapati ia sangat tuntas dan tidak mudah untuk disangkal.

“Justeru, kerana itulah kita perlu perkemaskan lagi dan Insya Allah, kita masih dalam proses tindakan selanjutnya bagi memastikan fatwa itu dapat dikuatkuasakan.

“Walau bagaimanapun, kita faham kuda Kepang merupakan sebahagian budaya masyarakat kita, maka apabila kita nak menyatakan bahawa kuda Kepang itu tidak betul, kita kena beri penjelasan.

“Ini membolehkan mereka menerima sebaik mungkin, kita tidak mahu masyarakat terus terlibat dengan perkara perkara yang merosakkan akidah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor, Cabaran Ancaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), hari ini.

Sementara itu, Yahya memberitahu permainan kuda kepang di Johor pernah difatwakan pada 2009 namun belum diwartakan.

Katanya, ia perlu diperkemaskan agar sebarang keputusan dibuat berlandaskan kajian dan dapatan yang diperolehi.

“Insya Allah kita akan laksanakan sebaik mungkin secara berperingkat dan pada masa sama, kita juga menyediakan alternatif lain,” katanya.

Dalam pada itu, Yahya memberitahu, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Johor serta Yayasan Warisan Johor untuk mendapatkan pandangan mengenai permainan ini.

“Beri masa pada kita untuk memastikan dan juga membuat hebahan kepada masyarakat. Selain Johor, ada lagi negeri lain sedang menunggu keputusan daripada kita bagaimana bentuknya supaya mereka dapat berkongsi sama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini