KUCHING: Kira-kira 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di bandar raya Kuching bagi memeriahkan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 yang akan bermula esok.
Perhimpunan kali ini menyaksikan editor, wartawan, jurufoto, jurukamera dan mereka yang bertugas di sebalik tabir serta wakil-wakil persatuan media di dalam dan luar negara akan menghadiri pelbagai program yang diatur selama tiga hari.
Mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan”, perhimpunan terbesar fraterniti media Malaysia itu turut disertai wakil media dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor Leste, Vietnam, China, Korea dan Qatar.
Membuka tirai sambutan esok ialah program Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa di Pustaka Negeri Sarawak yang akan dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Diperkenalkan buat julung kalinya, program berkenaan akan berlangsung hingga Oktober ini dengan menyasarkan penuntut Pengajian Komunikasi dan Media atau mana-mana yang berkaitan di institut pengajian tinggi awam (Ipta) yang menjadi bakal pengamal media pada masa hadapan.
Program itu yang akan menjelajah ke Ipta terpilih di beberapa negeri turut diisi dengan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman, selain perbincangan mengenai topik berkenaan Fact Check bersama Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Sakina Mohamed serta Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama, Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman.
Turut menjadi tumpuan, Pameran Hawana 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre di sini, yang juga berlangsung selama tiga hari bermula esok dan bakal dirasmikan oleh Fahmi pada hari sama.
Selain itu, peserta sambutan Hawana 2024 akan diraikan dalam Majlis Makan Malam bersama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, esok.
Pada Isnin, kemuncak sambutan Hawana 2024 pastinya tertumpu kepada amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan merasmikan edisi tahun ini, selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) serta Perak (2023).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.