
KUCHING: Hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan rendah di Kuching dilanda banjir kilat awal pagi tadi.
Air mula membanjiri bebarapa kawasan penempatan penduduk sekitar jam 8.00 pagi tadi menyebabkan mereka mula memindahkan barangan dan kenderaan masing-masing ke tempat yang lebih tinggi.
Tinjauan berdekatan Kampung Tabuan Dayak mendapati beberapa kediaman penduduk di kawasan terbabit masih dinaiki air kira-kira 0.5 meter namun sudah beransur surut.
Selain kawasan terbabit, banjir turut dilaporkan di beberapa kawasan lain antaranya Kawasan Kota Sentosa, Stampin, Serta kawasan Batu Tiga.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan anggota bomba sudah digerakkan untuk memantau situasi semasa di kawasan yang dilaporkan terjejas.
Anggota terbabit juga katanya, turut bersiap sedia untuk melakukan pemindahan mangsa sekiranya keadaan memerlukan untuk berbuat demikian.