Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kuching dilanda banjir kilat

Antara rumah penduduk Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa yang dilanda banjir kilat tengah malam tadi. – FOTO: NSTP

KUCHING: Beberapa penempatan penduduk di pinggir bandar raya ini dilanda banjir kilat tengah malam tadi susulan hujan berterusan sejak pagi semalam.

Antara kawasan terbabit ialah Taman Desa Wira dan Kampung Sinar Budi Baru di Batu Kawa, beberapa kawasan di Semariang, Matang serta Kota Sentosa.

@buletintv3 Beberapa penempatan di pinggir bandar raya Kuching dilanda banjir kilat tengah malam tadi. #BanjirKuching #BanjirKilat #BuletinTV3 ♬ Breaking News Background Music (Basic A)(1001538) – LEOPARD


Difahamkan, banjir turut menjejaskan aliran trafik di Jalan Penrissen dari arah Kota Sentosa menghala Siburan.

Penduduk di Taman Desa Wira berkata, banjir mula melanda tengah malam dengan kebanyakan rumah dinaiki air mulai jam 1.30 pagi.

Menurutnya, air naik dengan cepat mencemaskan penduduk menyebabkan keadaan kelam kabut apabila penduduk bergegas mengalih kenderaan ke tempat tinggi.

“Kejadian itu berlaku tengah malam ketika ramai penduduk sudah tidur.

“Air naik dengan cepat sehingga ada penduduk tidak sempat menyelamatkan perabot, ” kata penduduk yang hanya dikenali sebagai Amirul.

Menurutnya, ada penduduk tidak menjangka banjir akan melanda kerana hujan lebat berlaku tidak kerap.

“Memang hujan sejak pagi, tetapi tidaklah lebat. Cuma menjelang tengah malam, hujan lebat berlaku sekejap-sekejap dalam tempoh kira-kira satu jam.

“Itu yang menyebabkan banjir kilat berlaku, tambahan pula sistem perparitan di kawasan ini dikenalpasti tidak berfungsi dengan lancar,” katanya.

Loading...
Terkini