comscore
Tumpuan :
Nasional

Kuartet Merdeka di TV3: Empat menteri kongsi cerita sambutan Hari Kebangsaan ketika zaman kanak-kanak

 

KUALA LUMPUR: Esok TV3 akan menyiarkan program bual bicara khas Suara Rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Program yang bertajuk Kuartet Merdeka menampilkan empat Menteri daripada pelbagai kaum yang menggambarkan kepelbagaian kaum penduduk negara kita, dijadual bersiaran pada jam 5.23 petang.

Mereka ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Rancangan dihoskan oleh Mior Abdul Malek Raiyani dan Azaria Tagaya.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, baru-baru ini berkata tema itu mendasari tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta kehidupan yang aman dan sejahtera.

Ia juga didokong dengan konsep Malaysia MADANI sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan.

Pemilihan logo Malaysia MADANI pula berteraskan kepada reka bentuk logo unik dan simbolik dengan tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara.

Ia juga mengandungi warna-warna asas Jalur Gemilang selaras dengan jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia yang berbilang bangsa hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa.

Selain membincangkan mengenai betapa pentingnya perpaduan kaum dan pencapaian negara, empat menteri berkenaan menceritakan pengalaman mereka menyambut hari kebangsaan ketika kanak-kanak.

Fahmi berkongsi cerita mengenai lagu 31 Ogos nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang sangat sinonim dengan Hari Kebangsaan, selain bangun awal pagi untuk menonton perbarisan di televisyen sambil memasang angan-angan untuk menyertai perbarisan.

Nancy pula berpengalaman menaiki sampan dan bas ketika dibawa oleh ibu bapanya menyaksikan perbarisan dengan pakaian pun dijahit khas oleh ibunya.

Kisah Sivakumar juga menarik.

Selain bangun awal pagi menghadap televisyen yang ketika itu masih hitam putih, ketika di tingkatan tiga beliau ditimpa sakit sehari sebelum hari perbarisan selepas berlatih beberapa hari.

Mengimbau masa zaman kanak-kanak, Hannah pula gembira kerana 31 Ogos hari cuti dan tidak perlu bangun pagi ke sekolah.

Tarikh itu pula juga ulang tahun kelahiran adiknya dan mereka sekeluarga ada majlis makan-makan setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.

Loading...
Terkini