KUCHING: Dua guru lelaki menempuh detik cemas apabila kuarters kediaman mereka di Sekolah Kebangsaan Batu Danau di Limbang, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.27 pagi.
Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi yang terletak 34 kilometer dari balai pada 7.54 pagi, didapati kuarters jenis tidak kekal itu hampir musnah sepenuhnya.
“Penghuni iaitu dua guru lelaki berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.