Tumpuan :
Nasional

Kualiti udara buruk di Kulim bongkar pembakaran terbuka ladang sawit

Oleh: Selwam Arjunan

KULIM: Kemerosotan kualiti udara secara mendadak di Kulim Hi-Tech, semalam, mendedahkan kegiatan pembakaran terbuka di dua ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pembakaran itu telah dipadamkan, dan kualiti udara semakin pulih.

“JAS mengesan kemerosotan kualiti udara melalui sistem cerapan udara dari Sistem Pengawasan Kualiti Udara, yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, melebihi 100,” katanya.

Menurut beliau, pencemar utama adalah parameter PM2.5, yang berada pada tahap tidak sihat di Stesen IPU Kulim Hi-Tech.

JAS katanya, turut menerima aduan daripada orang awam mengenai keadaan udara yang kurang memuaskan.

“Bertindak atas maklumat, JAS Kedah telah menjalankan siasatan berdasarkan lokasi aduan berhampiran Taman Kulim Utama.

“Siasatan mendapati terdapat asap kebakaran berpunca daripada pembakaran terbuka melibatkan beberapa longgokan sisa biomas kelapa sawit di dua lokasi, iaitu Ladang Kelapa Sawit bersebelahan Fasa Baru Kulim Utama dan Ladang Kelapa Sawit berhampiran Kampung Sungai Ular.

“JAS Kedah kemudian memaklumkan insiden ini kepada pihak Bomba Kulim Hi-Tech, dan kebakaran tersebut telah dipadamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bacaan terkini IPU pada jam 8 pagi ini di Stesen Kulim Hi-Tech mencatatkan 82 (sederhana), dengan pencemar dominan PM2.5 (habuk halus).

“Pendedahan kepada PM2.5 pada tahap tinggi atau tidak sihat boleh memberi impak kacau ganggu serta kesihatan jika pendedahan berterusan,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau berkata JAS Kedah akan terus memantau bacaan IPU di Kulim, yang dijangka menurun selepas punca kebakaran dipadamkan.

Siasatan terhadap pengusaha ladang kelapa sawit dilakukan mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini