Tumpuan :
Nasional

Kualiti jalan raya Malaysia memberangsangkan, perlu seiring dengan amalan pemanduan berhemah

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Malaysia berada di kedudukan ke-21 berdasarkan kualiti jalan dan kedudukan ini lebih tinggi berbanding beberapa negara maju di dunia seperti Australia, United Kingdom (UK) dan New Zealand.

Kajian yang dibuat oleh Portal Statistik The Global Economy ini sekali gus menyangkal dakwaan beberapa pihak berkaitan kondisi jalan raya di Malaysia.

Kenyataan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memaklumkan, sistem jalan raya di Malaysia juga mempunyai hierarki jalan tersendiri dan setiap jalan dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa tertentu.

“Misalnya, jalan persekutuan dikawal selia oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia manakala lebuh raya mempunyai konsesi lebuh raya tersendiri yang diselia oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia.

“Pemilikan ini memudahkan penyelenggaraan jalan dilaksanakan secara berkala dan pembangunan juga dapat dilakukan secara berterusan,” katanya kepada Buletin TV3.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya
dan Persekitaran (REER), MIROS / Ir. Ts. Dr. Muhammad Marizwan Abdul Manan

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran (REER) MIROS, Ir. Ts. Dr. Muhammad Marizwan Abdul Manan berkata, kini rakyat dapat melihat dan menikmati pertambahan jaringan jalan yang menjadikan capaian daripada satu lokasi ke satu lokasi lain lebih mudah dan lebih menjimatkan masa.

“Di Lembah Klang terdapat beberapa lebuh raya baru yang dibina untuk memberi lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya seperti Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Duta Ulu-Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH),” ujarnya.

Katanya lagi, lebuh raya baru ini dibina dengan reka bentuk dan teknologi terkini dan setaraf dengan jalan raya di negara-negara maju.

Dr. Muhammad Marizwan turut berharap, seiring dengan peningkatan kualiti jalan raya di Malaysia ini, pengguna jalan raya juga dapat meningkatkan amalan pemanduan berhemah, termasuk mematuhi had laju yang ditetapkan supaya nahas dapat dikurangkan.

Pegawai Penyelidik Unit Trafik dan Infrastruktur Jalan (RTI), Pusat
Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran
(REER) MIROS / Ts. Mohd Shafie Nemmang

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Unit Trafik dan Infrastruktur Jalan (RTI) REER MIROS, Ts. Mohd Shafie Nemmang berkongsi, memandu laju akan meningkatkan risiko nahas dan kecederaan kerana ia akan mengurangkan keupayaan untuk mengawal kenderaan.

“Ia juga meningkatkan masa tindak balas iaitu lebih masa diperlukan untuk bertindak sekiranya berlaku kecemasan serta menambah jarak untuk berhenti dengan selamat.

“Setiap kategori jalan di Malaysia mempunyai had laju yang telah ditetapkan seperti had laju di lebuh raya adalah antara 90 km/j dan 110 km/j, had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri antara 80 km/j dan 90 km/j manakala di jalan-jalan perbandaran adalah di bawah 50 km/j,” katanya.

Ujarnya lagi, lazimnya had laju ini ditetapkan bersesuaian dengan reka bentuk dan fasiliti jalan tersebut.

Kajian menunjukkan peningkatan kecil dalam kelajuan kenderaan boleh menyebabkan perbezaan besar kepada keseriusan nahas di mana setiap pertambahan kelajuan bermakna impak perlanggaran juga akan meningkat.

“Dalam perlanggaran depan dengan depan (head-on crash) antara dua buah kenderaan, terdapat 95 peratus risiko di mana pemandu atau penumpang akan terselamat jika kelajuan pemanduan kenderaan adalah pada 60 km/j,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu bersatu hati supaya keselamatan jalan raya menjadi budaya khususnya bagi pengguna serta pembina infrastruktur dan pengendali jalan raya, agar tiada nyawa yang ditangisi di kemudian hari.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini