KUALA LUMPUR: Gelora Laut Kuala Rompin menjadi saksi pertarungan hebat antara pemancing dari pelbagai negara dalam Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC).
Kawasan laut di sebelah timur Kuala Rompin diiktiraf sebagai habitat spesies ikan layaran terbesar di dunia, menjadikannya lokasi ideal untuk pertandingan memancing bertaraf antarabangsa ini.
Sejak tahun lalu, Mohd Noor, 55 tahun, seorang pemancing tegar, berhasrat untuk menyertai pertandingan ini bersama rakan-rakannya, Mohd Roslam dan Mohd Fauzi.
Mereka berharap dapat merasai pengalaman unik memancing ikan layaran dalam suasana pertandingan yang berbeza.
Noor berkata pengamatan ketika memancing amat penting, terutama ketika ikan menyerang umpan.
“Memancing ikan layaran memerlukan umpan ikan kecil hidup yang ditangkap sendiri. Waktu pagi adalah yang terbaik kerana arus cantik dan air tidak bergelombang,” katanya.
Setiap peserta mempunyai teknik dan gaya tersendiri untuk memaksimumkan hasil tangkapan.
Noor menekankan kepentingan melepaskan ikan yang ditangkap dalam keadaan hidup untuk menjaga ekosistem dan sumber ekonomi tempatan.
“Bila pertandingan, kita kejar masa dan yang paling penting, pemain-pemain hendak ikan itu dilepaskan dalam keadaan hidup, itu trofi yang paling berharga.
“Membazirlah walaupun ikan itu tiada dari segi nilai komersial, tapi dia boleh menjadi sumber ekonomi pada penduduk Rompin,” katanya.
Mohd Fauzi Mustaffa yang juga seorang pemancing ikan layaran menjelaskan bahawa strategi pasukan adalah kunci kejayaan.
“Dalam pertandingan ini, setiap pasukan mempunyai strategi. Kami perlu cepat untuk menaikkan ikan kerana jumlah tangkapan lebih penting daripada saiz,” ujarnya.
Walaupun mencabar, kehilangan ikan yang hampir ditangkap adalah lumrah bagi seorang pemancing.
“Tangkap ikan itu menjadi trofi kebanggaan. Memang lega sangatlah, senang cerita tidak tercapai hajatlah.”
Dengan pertandingan ini, Kuala Rompin terus mempamerkan keindahan lautnya serta potensi ekonomi yang dihasilkan dari aktiviti memancing, menjadikannya tumpuan pemancing dari seluruh dunia.
Manisan Deepavali
Menyambut kedatangan Deepavali tahun ini, seorang graduan kejuruteraan mekanikal menawarkan pelbagai kuih dan manisan tradisional di gerai Teh Tambi, yang terletak di Jalan Masjid India di ibu negara.
Bukan hanya mahu meneruskan tradisi, tetapi memberikan turut pilihan kepada pelanggan yang ingin menikmati hidangan perayaan autentik.
Kavievanan Subramaniam, 27, berkata, bersempena dengan Deepavali tahun ini, dia buat pertama kalinya turut menjual kuih serta manisan yang biasanya dihidangkan kepada tetamu yang datang meraikan perayaan pesta cahaya itu.
“Keluarga saya sudah lama membuat kuih manisan untuk perayaan, dan untuk Deepavali tahun ini, saya ingin memberi tumpuan kepada sajian manisan, supaya pelanggan tidak hanya datang untuk minum teh semata-mata,” katanya.
Antara juadah manisan yang dijual termasuk Tenkay Mittay, Ladoo, Paal Gova, dan Jalebi, dan penyediaan manisan berkenaan diserahkan kepada ibunya.
“Resepi kuih-kuih dan manisan semua adalah daripada keluarga saya, jadi ibu saya akan uruskan kerja-kerja di dapur dan tunjukkan cara membuatnya kepada pekerja kami,” jelasnya.
Ibunya, Kalamathy Sinnah, menambah bahawa dalam tradisi Deepavali, manisan adalah simbol kegembiraan.
“Kami percaya bahawa manisan adalah simbol kegembiraan dalam perayaan.
“Sambutan Deepavali mesti dilengkapi dengan kemanisan. Setiap kali kami berdoa, manisan adalah sesuatu yang perlu ada,” ujarnya.
Kavievanan, yang turut memiliki empat tapak gerai lain di sekitar Kuala Lumpur, berhasrat untuk terus menyemarakkan tradisi dan budaya melalui hidangan yang ditawarkan.
Ikuti kedua-dua kisah ini di Majalah 3 malam ini 9:00pm dan TONTON.