Tumpuan :
Nasional

Kuala Lumpur, Banting catat bacaan IPU tidak sihat

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: 10 kawasan termasuk Kuala Lumpur dan Banting, Selangor dan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 9 pagi tadi.

Berdasarkan kemas kini laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 9 pagi ini, kawasan itu mencatat bacaan melebihi 101, dengan Banting dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat bacaan 157, Klang (154), Shah Alam (153), Johan Setia (152), Petaling Jaya (137) dan Putrajaya (105).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Tiga lagi stesen yang mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah di Nilai, Negeri Sembilan (152), Bukit Rambai, Melaka (153) dan Batu Pahat, Johor (107).

APIMS turut menunjukkan, kualiti udara di 54 stesen lain adalah sederhana dan hanya empat kawasan iaitu Kota Bharu, Kelantan; Sri Aman dan Sibu, Sarawak; serta Kimanis di Sabah yang berkualiti udara baik.

Sementara itu, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) semalam melaporkan, asap jerebu sederhana di negara jiran mungkin akan menjejaskan negara berhampiran.

Katanya, melalui imej satelit, beberapa titik panas dilihat bertaburan dikesan di Kalimantan, selatan dan tengah Sumatera serta di Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan Sulawesi.

“Titik panas itu dikesan di Semenanjung Malaysia. Jerebu asap sederhana dikesan di bahagian selatan dan tengah Sumatera dan dikesan hanyut ke arah barat laut,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini