comscore
Tumpuan :
Nasional

Kuala Dungun catat IPU tidak sihat 

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kuala Dungun di Terengganu mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 11 pagi ini dengan bacaan 153 ekoran kebakaran hutan belukar di Kampung Tok Kah.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff  Wan Jaffar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan susulan status bacaan IPU mencecah bacaan 151-200 dalam tempoh melebihi 24 jam di Kuala Dungun itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran Awal 2 kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana ke peringkat negeri dan daerah terbabit.

Ia bertujuan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah/Negeri dan mengambil segala tindak balas berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Koordinasi di antara agensi berkaitan bagi merancang kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran turut diadakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata IPU yang direkodkan di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar pada 11 pagi ini menunjukkan 34 kawasan lain mencatatkan status kualiti udara tahap baik manakala 32 kawasan mencatatkan status kualiti udara tahap sederhana.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam melaporkan di rantau selatan ASEAN mengalami cuaca mendung di kebanyakan bahagian kecuali di bahagian tengah Sumatera dan sebahagian Borneo yang mengalami cuaca kering.

“Tiada titik panas diperhatikan di rantau selatan ASEAN. Tiupan angin diramalkan bertiup dari timur ke tenggara,” katanya.

Datuk Wan Abdul Latiff  turut menasihatkan semua pemilik tanah memantau rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah mencegah pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Bacaan IPU terkini boleh dirujuk di laman sesawang JAS di  http://apims.doe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di ‘Google Play’.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini