![](https://media.buletintv3.my/2023/01/CMS-PPZ-2023-01-08T115236.735.jpg)
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan dari KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya, sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 22 Januari ini.
KTMB dalam kenyataannya memaklumkan, tiket bagi tren tambahan itu akan mula dijual bermula esok bagi perjalanan 19 Januari hingga 24 Januari ini.
“Perkhidmatan ETS tambahan ini akan berlepas dari KL Sentral pada jam 5.05 petang dan tiba di Padang Besar jam 10.34 malam, manakala dari Padang Besar, tren ETS akan berlepas pada jam 11.00 pagi dan tiba di KL Sentral jam 4.36 petang.
“Tren tambahan ini menawarkan 630 tiket sehari dan menjadikan jumlah keseluruhan 3,780 tiket termasuk koc kelas perniagaan.
“Inisiatif ini sebagai memenuhi permintaan penumpang yang tinggi ketika musim perayaan serta menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman dengan selesa dan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan tiket tambahan itu melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu di media sosial rasmi KTMB. – BERITA HARIAN