KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meningkatkan rondaan polis bantuan, terutama di kawasan ‘hotspot’, bagi mencegah insiden pencerobohan landasan.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha, berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan pematuhan peraturan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.
“Langkah ini diambil bagi memperkasakan akta sedia ada dalam usaha membendung isu pencerobohan di landasan.
Keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan kereta api sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada insiden gangguan perkhidmatan KTM Komuter pada Selasa lalu.
Beliau turut meluahkan rasa kesal dan memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan. Dalam kejadian itu, tren Komuter 2110 yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada 6.39 pagi terpaksa dihentikan selepas melanggar penceroboh di Kilometer 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang, menyebabkan kelewatan lebih 60 minit.
Seramai 200 penumpang yang terjejas dibawa ke Stesen Klang dengan bantuan polis bantuan dan kakitangan KTMB sebelum menaiki bas perantara ke Stesen Subang Jaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.