Tumpuan :
Nasional

KSN perkenal Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika menyampaikan amanat sulung ‘Reformasi Perkhidmatan Awam di Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN Tahun 2024 di Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengumumkan dasar dan hala tuju beliau untuk menambah baik perkhidmatan awam dinamakan ‘Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam’.

Menurutnya, gagasan itu menumpukan kepada lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) dan diperkukuhkan dengan 20 strategi dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan termasuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Lima BKR itu ialah Penghayatan Nilai dan Tatakelola; Pembangunan Modal Insan; Pembangunan Organisasi; Penyampaian Perkhidmatan; dan Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.

Ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN di sini hari ini, Tan Sri Shamsul Azri berkata, sebahagian besar BKR itu adalah bersifat ‘low hanging fruits’ (sesuatu yang mudah dilakukan) dan ada juga yang memerlukan pelaksanaan dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.

“Untuk merealisasikannya, kita di sektor awam tidak boleh bergerak sendiri. Sebaliknya, kita akan menggunakan pendekatan yang saya perkenalkan sebagai ‘AI Strategy’ atau ‘Associated and Integrated Strategy’.

“‘Associated’ ini menekankan konsep ‘whole-of-nation’ melibatkan sektor swasta dan ‘Integrated’ menekankan konsep ‘whole-of-government’ yang melibatkan integrasi antara jabatan kerajaan,” katanya.

Jelasnya, pendekatan itu boleh dilakukan dengan membangunkan kerjasama strategik dan sinergi antara agensi yang terlibat, perkongsian sumber secara optimum serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Selain itu, ia boleh dilaksanakan dengan mengetengahkan inisiatif yang memberikan pulangan kepada nilai wang yang dilaburkan dan memastikan setiap inisiatif yang hendak dilaksanakan menyumbang secara langsung kepada matlamat ekonomi MADANI.

Mengulas lanjut, menurut Tan Sri Shamsul Azri, terdapat dua pemboleh daya utama yang membantu memeta kejayaan reformasi perkhidmatan awam selain daripada inisiatif yang dilaksanakan.

Pemboleh daya utama itu adalah pemantauan, pengukuran dan penilaian prestasi serta komunikasi total.

“Saya ingin mencadangkan supaya diwujudkan satu bentuk penganugerahan, pengiktirafan atau penghargaan sebagai pemangkin kepada kementerian dan penjawat awam dalam meningkatkan kecekapan dan melaksanakan penambahbaikan.

“Namakanlah seumpama Anugerah Kecemerlangan Reformasi Perkhidmatan Awam atau apa-apa nama yang bersesuaian. Saya yakin, ini akan menyuntik lagi semangat untuk terus komited meningkatkan prestasi dan penyampaian perkhidmatan, memenuhi jangkaan rakyat dan membina masa depan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini