Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua Ketua Setiausaha (KSU), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan ketua jabatan diminta meneliti semula dasar, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lama serta lapuk.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata dasar, peraturan dan SOP yang sudah lapuk berpotensi untuk membuka ruang serta peluang kepada salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
“Saya memberi perhatian serius berhubung isu tatakelola, salah guna kuasa termasuk kes tatatertib yang membabitkan rasuah dan pecah amanah.
“Oleh itu saya memberi teguran dan mengingatkan semua KSU, SUK dan ketua jabatan supaya meneliti semula dasar, peraturan dan SOP di kementerian, Kerajaan Negeri dan jabatan masing-masing yang telah lama serta lapuk,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perkara itu dibangkitkan beliau dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Nasional Bilangan 2/2024 yang dipengerusikannya hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta wakil SUK.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Shamsul Azri berkata, dasar, peraturan dan SOP perlu ditambah baik selaras dengan prinsip tatakelola yang baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan.
Jelasnya, dalam mesyuarat itu, turut dibangkitkan kes di dalam laporan SPRM yang tertangguh sehingga enam hingga 10 tahun yang belum diselesaikan di peringkat kementerian dan agensi.
“Saya telah minta perkara ini diberi perhatian serius kerana ianya boleh menjejaskan tapisan keutuhan dan laluan kerjaya seseorang pegawai.
“Integriti adalah melakukan perkara yang betul walaupun tidak ada sesiapa melihat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.