BAYAN LEPAS: Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersedia meneliti saranan supaya Akta Kerja 1955 disemak semula bagi melindungi hak pelajar yang menjalani latihan industri atau praktikal di negara ini.
Menterinya, V Sivakumar berkata meskipun begitu beliau berpandangan Akta Kerja 1955 yang diguna pakai ketika ini dilihat sudah mencukupi untuk menjalankan peranan itu.
“Saya rasa buat masa ini Akta Kerja 1955 adalah mencukupi tetapi kita akan meneliti semula saranan dibuat pihak-pihak tertentu yang mahukan kita melihat semula kepada akta sedia ada itu,” katanya.
Beliau ditemui ketika menghadiri Persidangan dan Pameran Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 Wilayah Utara di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan pelbagai pihak termasuk Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) supaya satu akta khas berkaitan elaun pelajar latihan industri diwujudkan segera bagi mengelakkan eksploitasi tenaga kerja.
Media sebelum ini melaporkan banyak syarikat ternama membuat kerahan kerja pekerja terhadap pelajar praktikal tanpa dibayar elaun.
Susulan itu, KSM sedang menyiapkan laporan penuh mengenai dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.
Pada majlis itu, Sivakumar memaklumkan sekali lagi bahawa Malaysia memerlukan satu garis panduan bagi melindungi keselamatan sosial dan masa depan pekerja gig.