Oleh: Naim Fitri Abu Bakar
BUTTERWORTH: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang merangka dasar pekerja ekonomi gig dalam usaha memberikan perlindungan pendapatan serta keselamatan sosial kepada golongan itu.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, dasar itu perlu diteliti supaya mereka yang bekerja sendiri mempunyai perlindungan dan tidak didiskriminasikan oleh mana-mana majikan.
Jelasnya, bagi mewujudkan satu undang-undang atau akta khas akan mengambil masa yang lama malah setakat ini juga tidak ada mana-mana negara yang mempunyai akta dalam mengawal pekerja gig.
“Jadi ini adalah perkara yang sedang dalam proses penggubalan dasar di peringkat kementerian dan untuk kita adakan satu akta berkaitan perkara ini akan mengambil masa yang lama.
“Kita perlu lihat perkara ini dalam konteks yang lebih besar jadi kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat satu akta dan buat masa sekarang kita akan buat dasar kemudian kita akan mengkaji dengan lebih teliti sama ada kita nak buat satu undang-undang atau tidak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Karnival Kerjaya dan Skim Keselamatan Suri Rumah Peringkat Pulau Pinang di Butterworth Arena, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya merangka akta khas bagi membela nasib pekerja gig dari segi pendapatan serta keselamatan sosial.
Tambahnya, perkara itu perlu dikaji dengan lebih teliti sebelum ia dilaksanakan memandangkan tidak semua individu daripada golongan sektor berkenaan bersetuju untuk dikawal oleh mana-mana pihak.
Susulan itu, dasar bagi akta khas membabitkan pekerja terbabit dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.