Tumpuan :
Nasional

KSM Belum Terima Maklumat Cadangan Tempoh Kerja 4 Hari Setengah di Johor


Oleh Kumaran Rajamoney

Kementerian Sumber Manusia (KSM) masih belum menerima sebarang laporan mengenai hasrat kerajaan negeri Johor mengurangkan tempoh bekerja kepada empat hari setengah, seminggu.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai perkara itu selain tiada sebarang sesi libat urus dibuat mengenainya.

“Terpulang kepada negeri Johor, secara rasmi di peringkat nasional. Kita belum menerima memo cadangan, bantahan atau sebagainya. Jadi buat masa ini, kalau ada cadangan maka ia masih di peringkat negeri Johor,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan cadangan bahawa negeri Johor akan kembali menetapkan hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, selain bekerja separuh hari pada hari Jumaat.

Cadangan ini dijangka akan diumumkan pada bulan hadapan selepas diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Datuk Awang berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Libat Urus Sekolahku Sejahtera – Pemerkasaan Pentaksiran Psikometrik Dan Hal Tuju Kerjaya Murid Kedah 2022 di Dewan Al-Farabi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, KSM dijangka mengumumkan tarikh penguatkuasaan pengurangan waktu kerja mingguan dari 48 jam kepada 45 jam pada minggu depan.

Ia dilakukan selepas menjalankan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

“Sebelum kita bawa apa-apa rang undang-undang, kita jalankan sesi libat urus dengan persetujuan semua pihak. Kalau kita tidak mendapat persetujuan, agenda libat urus akan dijalankan sehingga ia diyakini” katanya.

Sesi libat urus dan penerangan diadakan dengan pemegang taruh sejak 2015 melalui pelbagai platform seperti sesi ‘town hall’, dialog, seminar, mesyuarat dan maklum balas dalam talian termasuk melibatkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam.

Loading...
Terkini