Tumpuan :
Nasional

Kru kapal kargo hilang, terjatuh di perairan Melaka

FOTO: Maritim Malaysia

MELAKA: Seorang kru kapal kargo yang dalam perjalanan ke Singapura dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh di perairan Melaka, semalam.

Operasi mengesan mangsa kini sedang giat dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 11.10 pagi daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) di Johor Bahru.

Beliau berkata, berikutan itu, bot PERKASA 37 yang sedang dalam operasi, diarahkan ke lokasi untuk mengesan mangsa warga India selepas operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan.

FOTO: Maritim Malaysia

“Maklumat diterima, mangsa dikenali sebagai Vishnu Babu, berumur 25 tahun dipercayai terjatuh di laut di kedudukan 11.8 batu nautika Barat Daya Tanjung, Klebang, di sini, semasa kapal kargo MTRESOLUTE dalam perjalanan menuju ke Singapura.

“Keluasan sektor pencarian meliputi 43.5 kilometer persegi dan bot ronda RH 22 dari Pasukan Polis Marin (PPM) turut membantu dalam pencarian ini, namun tiada sebarang penemuan ditemui setakat jam 7 malam tadi.

“Operasi CARILAMAT ditangguhkan dan diteruskan pada hari kedua bermula jam 8 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi secara 24 jam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini