comscore
Tumpuan :
Nasional

Kru kapal jatuh laut di PTP ditemui terapung

GELANG PATAH : Kru sebuah kapal yang terjatuh ke dalam laut di Blok 15 Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), kelmarin, ditemukan, pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), petang semalam.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan bomba dan Penyelamat Johor, mayat warga Bangladesh, Miah Md Ujjal, 35, ditemukan terapung  jam 6.30 petang oleh kakitangan PTP, hampir 7 meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh.

Siasatan awal mendapati mangsa yang juga kakitangan PTP telah terjatuh dari kapal ke dalam laut  ketika melakukan kerja-kerja mengikat kontainer di atas kapal Als Clivia.

“Operasi SAR dilakukan dua anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) di lokasi mangsa dipercayai jatuh dengan radius pencarian 25 meter ke kiri dan kanan kapal.

“Pada pukul 3.15 petang semalam operasi SAR dihentikan sementara disebabkan keadaan arus laut melebihi 2 knot dan berbahaya kepada pasukan PPDA. Operasi disambung semula jam 4.18 petang setelah keadaan kembali normal.

“Tiga anggota PPDA sambung membuat selaman. Pada pukul 6.32 petang, mangsa berjaya dijumpai apabila timbul di permukaan air pada jarak enam meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai jatuh,” katanya

Seramai 24 anggota bomba dan penyelamat termasuk 3 anggota pasukan penyelamat di Air (PPDA) Balai Skudai dah Iskandar Puteri terbabit dalam operasi itu.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini