Tumpuan :
Nasional

Kru kapal jatuh di Langkawi ditemui selamat di Satun

 

Foto: Maritim Malaysia

LANGKAWI: Seorang lelaki yang hilang kira-kira 24 jam selepas terjatuh daripada kapal layar di perairan Tanjung Belua di sini, pagi semalam, ditemui selamat berhampiran Pulau Ta Nga, Satun, Thailand, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.15 pagi semalam, mangsa Velikokhotko Konstantin, 50, yang juga kru kapal layar Karana 1, dilaporkan telah terjatuh daripada kapal layar yang dinaikinya di perairan Tanjung Belua, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.15 pagi semalam.

“MRSC Langkawi telah menerima maklumat daripada Pengurus Rebak Island Resort & Marina, Derrick Van Deventer, yang memaklumkan mangsa telah terjatuh di perairan Tanjung Belua.

“Bertindak atas maklumat itu, bot Petir 81 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata bagaimanapun, mangsa kemudian dilaporkan ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 8.5 kilometer nautika Tenggara Pulau Ta Nga, Satun, Thailand, oleh kru sebuah kapal layar, pada jam 8.36 pagi tadi.

“Maklumat penemuan mangsa dalam keadaan selamat itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa oleh juga kru kapal layar Marina 1,” katanya.

Loading...
Terkini