comscore
Tumpuan :
Nasional

Kronologi kes kehilangan Sabari Baharom

Oleh Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Misteri kehilangan pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, di Baling, Kedah terjawab selepas polis mengesahkan mangsa dibunuh dan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di Kampung Empa, Derang, Kubang Pasu, Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata penahanan dua suspek lelaki berusia 26 dan 38 tahun yang disoal siasat membawa kepada pengesahan mangsa dibunuh dengan cara diikat tangan dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat sebelum dicampak ke dalam sungai. Katanya, motif pembunuhan kerana samun.

Berikut merupakan kronologi kes:

3 September 2024

Sabari, 62, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kuala Pegang, Baling Kedah. Kehilangannya disedari ahli keluarga yang menyangka mangsa berkunjung ke rumah rakan atau saudara mara. Namun telefon bimbit mangsa gagal dihubungi.

7 September 2024

Satu laporan polis dibuat keluarga mangsa, dan ahli keluarga dipanggil ke balai untuk memberikan keterangan pada keesokan hari.

20 September 2024

Ahli keluarga dimaklumkan dengan penemuan kereta Sabari, jenis Proton Waja yang ditemui dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik.

24 September 2024

Polis menahan seorang wanita berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Sabari.

27 September 2024

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah menangkap dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun disyaki terlibat dengan kehilangan mangsa.

Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang, Kubang Pasu, Kedah dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

30 September 2024

Anggota penyelamat melakukan operasi mencari Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu. Foto NSTP

Operasi mencari jasad mangsa di Sungai Padang Terap dijalankan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pencarian itu melibatkan radius lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai dibuang.

1 Oktober 2024

Operasi pencarian jasad mangsa diteruskan pada hari kedua bermula jam 9 pagi dengan radius diperluas kepada 12.8 kilometer dari Jambatan Kampung Empa yang dipercayai lokasi mangsa dibuang.

2 Oktober 2024

Subhiah Roslina hadir ke lokasi pencarian suaminya yang dicampak dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa. – FOTO: NSTP

Operasi pencarian diteruskan pada hari ketiga dengan radius pencarian meliputi 13 kilometer sepanjang sungai terbabit bermula dari Jambatan Lubuk Batu ke Jambatan Kepala Batas.

Ia turut melibatkan Unit Selam, Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban di Pulau Pinang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu.

3 Oktober 2024

Operasi pencarian selama tiga hari yang bermula sejak 30 Oktober lepas ditamatkan.

Pencarian yang meliputi radius 13 kilometer di Sungai Padang Terap, tidak menemui sebarang petunjuk.

Keluarga mangsa, turut mengadakan solat jenazah ghaib susulan penamatan operasi mencari jasad Allahyarham Sabari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini