Oleh: Fareez Azman
PETALING JAYA: Situasi di Lubnan ketika ini dilaporkan masih tegang ekoran serangan udara berterusan rejim zionis Israel yang terus mensasarkan kawasan diduduki Hizbullah.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob, semua 16 rakyat Malaysia di negara itu ketika ini berada dalam keadaan selamat.
“Keadaan di Beirut masih tegang tidak menentu serangan pihak Israel masih berterusan terutama di sebelah Selatan Beirut. Sesetengah kawasan kedutaan dan kediaman kakitangan (rakyat Malaysia) masih selamat.
“Setiap hari kami masih menerima banyak tembakan dari pihak Israel dan perkara ini berlanjutan sejak seminggu,”jelasnya ketika dihubungi Buletin TV3.
Semua rakyat Malaysia selamat
Bagaimanapun pihak kedutaan tambah Azri, sentiasa memantau rapi keadaan 16 rakyat Malaysia di sana terutama dalam proses evakuasi yang dijangka sehingga minggu ini.
“Buat masa ini di Beirut secara keseluruhannya di sesetengah kawasan dikategorikan tidak selamat terutama di kawasan didiami pihak Hezbollah, kebanyakan kawasan masih selamat, di belah utara dan kawasan pergunungan selamat.
“Rakyat Malaysia yang kita tahu, tinggal di zon hijau. Sebelum evakuasi, mereka tinggal di rumah masing-masing kami sentiasa hubung rapat setiap hari dan semua tidak rasa tertekan serta keselamatan mereka berada pada tahap terbaik.
“Semua menunggu untuk dibawa pulang, kami masih menunggu mendapatkan sebanyak mungkin tiket penerbangan komersial dan alternatif lain kami bincangkan juga,” katanya.
Tiket penerbangan terhad
Mengulas lanjut, kesemua rakyat Malaysia itu akan diterbangkan menggunakan pesawat komersial yang masih beroperasi ketika ini.
Bagaimanapun pihaknya berdepan kesukaran untuk mendapatkan tiket kerana terhad.
“Buat masa ini kesemua syarikat penerbangan telah batalkan penerbangan ke Lubnan kecuali Middle East Airlines iaitu syarikat penerbangan antarabangsa.
“Kita cuma boleh keluar melalui pesawat MEA ini, disebabkan ramai yang cuba dapatkan tiket untuk keluar Lubnan kita terpaksa mendapatkan tiket secara berfasa.
“Satu hari kita dapat empat hingga enam tiket sahaja, anggaran akhir minggu ini kesemua rakyat Malaysia dapat terbang ke Malaysia.
“Sebab tiket terhad jadi kita harap penerbangan itu disediakan MEA, bukan sahaja rakyat Malaysia tapi rakyat negara lain juga dalam proses meninggalkan Lubnan,” katanya lagi.
Laluan udara paling selamat
Ujarnya, laluan udara ketika ini adalah paling selamat buat rakyat Malaysia meninggalkan Lubnan berbanding laluan darat mahupun laut ke negara jiran.
“Proses evakuasi rakyat Malaysia kita ambil proses paling selamat berbanding alternatif lain seperti jalan laut di Cyprus dan jalan darat di Jordan risiko lagi tinggi.
“Jadi kita gunakan pesawat komersial, rakyat Malaysia nak ke lapangan terbang tidak ada sebarang masalah, apabila dapat tiket (penerbangan) kita akan maklum dan berikan tiket kepada mereka.
“Bagi mereka perlukan bantuan, kami bersedia membantu contohnya empat pelajar Malaysia (persendirian) akan pulang malam ini. Kami akan ambil mereka dari universiti dan hantar mereka ke universiti dan memberikan fasiliti yang mereka perlukan,” kata Duta Besar Malaysia di Lubnan itu.
Bekalan asas mencukupi
Mengenai proses evakuasi jelasnya lagi, fasa pertama adalah melibatkan rakyat Malaysia.
Manakala fasa kedua sekiranya keadaan semakin meruncing, ia akan melibatkan kakitangan kedutaan Malaysia untuk meninggalkan negara itu.
Bekalan asas makanan pula tambah Azri, masih mencukupi ketika ini seperti diumumkan Kerajaan Lubnan bahawa bekalan akan bertahan selama beberapa bulan.
“Stok (makanan) kita tidak mempunyai masalah, rata-rata di kedai-kedai tidak ada kekurangan stok makanan. Situasi kali ini berbeza dengan peperangan pada tahun 2006, peperangan kali ini di lapangan terbang dan pelabuhan masih buka.
“Jadi pesawat dan kapal-kapal masih boleh bawa masuk barang makanan dan bahan bakar. Dari segi itu tidak ada masalah stok makanan, cuma harga agak mahal sebab ramai orang dari selatan telah datang ke Beirut.
“Kerajaan Lubnan juga jangkakan stok makanan dan bahan bakar cukup untuk beberapa bulan akan datang,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa