Oleh: Kumaran Rajamoney
BAGAN DATUK: Bagan Datuk merupakan antara daerah yang terkenal sebagai kawasan penanaman kelapa terbesar negara.
Selain menumpukan kepada pasaran barangan berasaskan makanan, industri hiliran yang berpotensi besar di daerah ini adalah dengan penghasilan kraf menggunakan tempurung dan batang kelapa.
Mad Saril Ahmad, 64, yang kembali ke kampung halamannya setelah berdekad merantau ke ibu kota mendapat ilham mengubah tempurung dan batang pokok kelapa menjadi produk yang mendapat sentuhan seni, setelah melihat ia dibuang atau dibakar.
Beliau yang mendapat pendidikan di Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) mahu memanfaatkan ilmu, dengan menterjemahkan bakatnya dalam bentuk hobi pada masa lapang.
Apalagi tempurung dan batang kelapa diperoleh secara percuma dari rakan-rakannya yang menjadi peraih kelapa dan penjual santan.
“Ada juga kelapa kering yang tidak terbentuk elok serta tanpa isi. Semua jenis kelapa ini hakikatnya tidak menguntungkan. Pun begitu, ianya boleh menyuntik elemen yang pelbagai dalam penghasilan produk kraf.
“Produk ini kemudiannya mula mendapat permintaan tinggi, dan mendapat perhatian Kementerian Pertanian (ketika itu) yang kemudiannya memberikan mesin dan peralatan lain untuk membolehkan ia dijadikan suatu perniagaan hiliran yang mampan,” katanya.
Produknya juga dijenamakan sebagai “Kraftani” serta dipromosikan dengan kerjasama kementerian dan agensi lain.
Hasilnya, penghasilan produk dari tempurung ini semakin dikenali dan mula menghasilkan pendapatan apabila menerima tempahan dari pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta.
Katanya, setial produk mengambil masa antara satu hingga tiga hari untuk disiapkan dan dijual pada harga yang berpatutan mengikut saiz dan kesukaran kerja pembuatan.
Antara produk yang mendapat permintaan tinggi termasuk rantai kunci, barangan bermotifkan pokok kelapa serta keris.
“Saya juga bercadang untuk menambah mesin pemotongan yang menggunakan teknologi laser bagi mendapatkan potongan atau ukiran yang kemas. Ia akan meningkatkan lagi kualiti produk serta kebolehpasarannya ke seluruh negara, malah di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Usaha juga dibuat bagi mencungkil lebih banyak bakat baharu menerusi latihan dan kursus kepada generasi muda di sekitar daerah itu.
Antara yang berjaya menggapai aspirasi ini adalah Muhammad Isa Che Rose, 47, yang turut memiliki sebuah bengkel penghasilan Kraftani kelapa sejak tahun 2014.
Tidak mahu industri itu terhenti tanpa legasi, Muhammad Isa menyeru lebih banyak aktiviti dianjurkan bagi memperkenal potensi ekonomi produk Kraftani kelapa kepada masyarakat.
“Harapan saya jika sekolah atau insitusi pengajian tinggi boleh integrasikan produk kraf dari kelapa ini dalam bentuk pertandingan.
“Ianya akan memberi pengenalan kepada generasi baru dan memungkinkan limpahan kreativiti yang lebih baik berbanding kami,” katanya kepada Buletin TV3 ketika ditemui di Kampung Sungai Betul di Bagan Datuk, Perak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.