MELAKA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia membantu daripada segi khidmat nasihat dan kaunseling kepada bekas model Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya memandang serius malah berterima kasih kerana Zahnita berani tampil membuat laporan sekali gus membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Menurutnya, pihaknya tidak mahu mengganggu kes berkenaan yang kini dalam siasatan polis selain memberi ruang kepada Zahnita untuk bertenang.
“Sebenarnya saya baru mengetahui hal ini semalam dan saya diberitahu pihak polis sedang menjalankan siasatan, jadi kita tidak mahu campur tangan.
“Kita hanya akan melakukannya kalau dia (Zahnita) perlu kerana perlu diingat jika ingin masuk campur, perlu ada kesediaan di pihak wanita terbabit.
“Jadi mereka perlu diberi ruang untuk menenangkan diri dan memikirkan apa lagi tindakan yang mahu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih YKN–TNB di Hospital Melaka, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Nancy turut mendoakan Zahnita tabah menempuh kehidupan susulan apa yang berlaku dan menegaskan dia tidak bersendirian.
“Kita mahu dia datang kepada kita jika perlukan nasihat, kaunseling untuk mencari jalan bagaimana untuk teruskan kehidupan.
“Bukan hanya kepada dia, malah sesiapa saja janganlah buat begitu (keganasan) terhadap wanita kerana mereka ibu kita, adik-beradik kita, mereka juga manusia yang perlu untuk hidup dengan selesa,” katanya.
Menurutnya, kementeriannya sentiasa menggalakkan golongan wanita yang menjadi mangsa atau sesiapa yang mengetahui kejadian seumpama untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
Media semalam melaporkan polis menahan suami model kacukan Melayu dan New Zealand itu kelmarin bagi membantu siasatan selepas wanita itu mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.