Tumpuan :
Nasional

KPWKM perkasa Industri perkhidmatan penjagaan, bantu wanita kembali bekerja

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat memperluas peluang dalam industri perkhidmatan penjagaan bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali ke sektor pekerjaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cabaran utama yang dihadapi wanita untuk kembali bekerja adalah tanggungjawab menjaga anak dan warga emas, selain kos tinggi bagi perkhidmatan penjagaan.

Pada masa sama, kos tinggi yang perlu ditanggung bagi menghantar anak-anak ke taska turut menyumbang kepada kurangnya minat golongan wanita untuk kembali berkerja.

Justeru katanya, pihak berkepentingan diharap dapat menggubal dasar-dasar yang mesra wanita terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan khas.

“Kita hanya mengharapkan, namum kini kita dapat melihat komitmen yang ditunjukan oleh semua pihak termasuk pihak swasta terhadap perkara ini lebih tinggi daripada sebelumnya.

“Ini secara langsung menunjukkan bahawa galakan itu ada maka oleh sebab itu kami (KPWKM) sentiasa menyuarakan hal seperti ini dan apabila ia selalu diperkatakan secara langsung ia akan memberikan kesedaran kepada mereka yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Zon Borneo di Kuching.

Menurut Nancy, menerusi program latihan Pemberi Perkhidmatan Penjagaan (Caregiver) di Institut Sosial Malaysia, seramai 385 orang telah dilatih sebagai caregiver profesional tahun lalu.

Manakala bagi tahun 2025 KPWKM mensasarkan seramai 485 penjaga dapat dilatih di Institut berkenaan sekaligus membantu memenuhi pemintaan terhadap perkhidmatan itu yang kian meningkat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini