Tumpuan :
Nasional

KPWKM mohon NADMA lancar pergerakan petugas ke kawasan terlibat banjir

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Oleh: Aslina Abu Bakar

GOMBAK: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam urusan melancarkan pergerakan kakitangan yang diarah ke negeri terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya telahpun mengarahkan kakitangan dari negeri yang tidak terlibat banjir untuk turun ke kawasan-kawasan yang memerlukan pertambahan kakitangan.

“Saya maklum dalam kabinet semalam untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa terutama sekali NADMA supaya mereka membantu melicinkan perjalanan petugas kita sebab ada kawasan yang ditutup atau
‘roadblock’ untuk tujuan keselamatan, maka kami kena maklum dahulu.

“Setiap hari pihak kami memang memerhati, takut ada lagi yang memerlukan pertambahan petugas. Malah kita juga telah hantar semalam dan mungkin kita akan tambah lagi petugas di Terengganu dan negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Mahligai Cinta Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pengumuman pembekuan cuti semua anggota Jemaah Menteri susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini, Nancy berkata ia adalah hal biasa setiap kali bencana itu berlaku.

Menurutnya lagi, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum menteri turun ke kawasan supaya ia tidak menyusahkan petugas menjaga dan membantu mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Saya melihat kalau menteri datang, kadang pegawai akan sibuk dengan menteri. Jadi kita juga perlu mempertimbangkan ini. Kalau saya hendak pergi, saya akan bertanya dulu sama ada diperlukan atau tidak, sebab pegawai semua sudah berpengalaman.

“Macam Menteri lain yang ada keperluan untuk turun ke lokasi contoh menteri pendidikan perlu turun kerana ada peperiksaan. Jadi untuk kita nak menjenguk tu pun perlu berhati hati jugalah.

“Tapi kita akan melihatlah kalau perlu saya akan pergi. Insha Allah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini